Skip to main content

Itinerari 3 Hari 2 Malam di Melaka



Assalamualaikum wbt.

Minggu lepas, Encik Fikri dan Puan Asyrafiah telah memanjangkan kaki-kaki mereka ke Melaka. Atau perkataan yang lebih tepat, kami telan ber shot-vacation  ke sana sempena cuti sebenarnya. Kalau tak cuti, tak sampailah ke Melaka dan berlama-lama.

Inilah route map yang dipaparkan oleh Google Map.
Kebetulan pula, cuti kami sama. Sekolah memang banyak cuti, tapi suami Asy bukanlah cikgu. Jadi, bersempena cuti yang boleh kata panjang sikitlah ni, kami plan untuk jalan-jalan ke Melaka sambil menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Alhamdulillah, sekejap saja dah setahun.

Kenapa Pilih Melaka?

Sebab kami dua-dua pencinta sejarah. Suka sejarah. Tambahan pula, cuti taklah panjang mana. Kalau tak, mungkin dah sampai Mekah. Eh. Eh.

Maka, inilah sedikit coretan ikhlas dari Asy mengenai tempat-tempat yang kami jelajah sepanjang berada di Melaka.

Hari Pertama: Check In Hotel – Pantai Klebang – River Cruise

Prima Hotel, Melaka

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 9. Berhenti sarangahari (sarapan + makan tengah hari) di RnR Dengkil. Kemudian tiba di hotel sekitar jam 1.05 pm. Jam 1.55 pm baru kami check-in di hotel.

Lepas berehat dan menunaikan solat jamak, sekitar jam 5.00 pm kami bergerak ke Pantai Klebang. Kerana kuasa viral yang begitu dahsyat, gambar-gambar yang begitu memukau telah menarik-narik kami untuk melihat dengan mata sendiri, keseronokan di sana. (Review Hotel Prima nanti Asy akan kongsikan ya!)

Pantai Klebang

Nak cari parking di Pantai Klebang memang payah. Tapi rezeki kami, kami tengok ramai orang parking  di bahu jalan, maka kami pun ikut berbaris sekali dan kami perlu berjalan kaki (tak sampai 1 km pun) untuk tiba di Pantai Klebang. 

Ini keadaan parking di kawasan Pantai Klebang.


Berlatar belakangkan Pantai Klebang

Food truck penuh membanjiri bahu jalan sebelah kiri dan sebelah kanan pula, ada kedai-kedai makan yang menjual pelbagai jenis makanan. Kami membeli kudap-kudap untuk di makan sambil berjalan menikmati keindahan petang di Pantai Klebang. Cuma waktu kami sampai, air surut.

Kami juga tak lepaskan peluang untuk rasa Coconut Shake Pantai Klebang yang super-viral sekarang ni. Tapi macam tak berapa ori je. Tapi, layan saja.

Menikmati Coconut Shake Pantai Klebang

Selain itu, kami juga turut makan keropok lekor yang lembut dan banyak. Kuahnya diperbuat dari kuah rojak. Memang manislah! Harga 1 bekas, RM 5.00

Tergoda tak? Tergoda tak?
Makan rojak sotong juga! Memang sedap! Harganya RM 6.00

Rojak sotong yang marvelous!

Sebenarnya, teruja sangat nak melihat Bustel yang digembar-gemburkan dalam media sosial. Malangnya bila kami tiba di sana, salah seorang peniaga memberitahu kami bahawa Bustel sudah bankrupt. Memang betul, sudah ditutup. Jadi yang tinggal hanyalah bas-bas yang dijadikan gerai makan dan juga tandas awam.

Bas lama yang dijadikan tandas awam.

Menarik bukan?

River Cruise

Selepas berhempas-pulas menyelesaikan masalah Waze, maka sampailah kami di Bandar Melaka untuk menikmati pemandangan malam di Sungai Melaka.

Harga tiket untuk seorang dewasa jika naik cruise pada hari Isnin hingga Khamis ialah RM 10.60. Untuk hari Jumaat hingga Ahad (termasuklah Public Holiday) harga tiket seorang dewasa ialah RM 15.90. Harga untuk warga emas dan kanak-kanak pula sama, tak kira cuti atau tidak, RM 5.30.

Cantik kan?

Selfie satu!
Oh ya. Dapat juga goodies berbentuk emping jagung berperisa durian tau! Dapat dualah sebab kami beli tiket untuk dua orang. Sambil menikmati panorama malam sepanjang Sg Melaka, kami bersembang dan menikmati emping jagung berperisa durian. Sedap!

Emping jagung berperisa durian. Memang sedap!

Ramai yang komen di Facebook, busuk bau air Sg Melaka. Tak tahulah tapi semalam masa di atas cruise, tak perasan pula baunya. Kerana saya focus melihat pemandangan sekelilingnya.

Turun saja dari River Cruise, kami makan malam 25 cucuk sate (bye-bye diet) dan pulang berehat.




Hari Kedua: Muzium Samudera - Bukit Stadhyus – A Famosa – Muzium Kesultanan Melayu – Alai Ikan Bakar

Selepas menelan Vitamin C dan B-Complex, kami memilih untuk menawan Kota Melaka dengan menaiki beca. Susana pagi yang sejuk kerana bumi Melaka dilimpahi hujan, memang menenangkan. Jam 10 pagi, jalan masih lengang. Barangkali, ramai yang masih diulit mimpi bertemankan lagu hujan.

Disebabkan ini merupakan kali pertama kami menaiki beca, maka kami menikmati panorama pagi yang indah sambil gelak ketawa, kerana perasaan yang agak lucu di atas jalan raya tanpa bumbung dan dinding kereta. Naik motor lain ceritalah. Lain perasaan naik motor dan berbeca tau!

Pemandangan ketika naik beca


Jalan yang lengang

Seronoknya berbeca!

Muzium Samudera

Hari kedua juga kami bersarangahari (sarapan + makan tengah hari) di Kedai Asam pedas Hajah Ruhana. Rasa, hmmm sedang-sedang. Taklah begitu sedap. Biasa-biasa sahaja.

2 bintang saja boleh bagi.


Kemudian, kami menjelajah Muzium Samudera. Harga tiket seorang dewasa hanyalah RM 5.00 sahaja. Dapatlah kami mencerap segala sudut dalam Muzium Samudera. Bagaimana situasi orang dahulu berjual-beli. Berapa besarnya kapal-kapal Portugis. Membaca sejarah kedatangan para penjajah ke Tanah Melayu. Juga, dapat melihat bilik tawanan dalam kapal! Menyeramkan!

Hang Tuah v/s Hang Perut. Eh?
Katakan TIDAK pada penjajah!
Muzium Samudera ini dibina dengan ketinggian 110 kaki dan lebarkan 80 merupakan saiz yang dikecilkan dari kapal Portugis yang asal. Jadi, rugi rasanya kalau dating ke Melaka tetapi tak singgah muzium-muziumnya kerana kita tahu, Melaka adalah Bandar yang kaya dengan warisan sejarah.


Tingkat ketiga. Gayat nak turun tau!

Usai mencerap Muzium Samudera, kami singgah sebentar di kedai buah-buahan untuk membeli kudap-kudapan berserta air mineral. Nak mendaki Bukit Stadhyus lepas ni. Nak ikut tak?

Bukit Stadhyus

Sambil naik ke Bukit Stadhyus, kami sebenarnya melewati pokok bersejarah, iaitu Pokok Melaka. Pokok yang menjadi tunjang ilham penamaan bandar bersejarah ini.

Tiba di puncak bukit ini, kami masuk dan meninjau bekas gereja yang mana isi dalamnya hampir lompong. Hanya tinggal batu nisan yang lebih tinggi dan lebih lebar dari kami sebagai sejarah. 

Di Bukit Stadhyus

A Famosa

Mercu tanda yang disinonimkan dengan Melaka. Tinggalan sejarah yang makin luput ditelan zaman. Tiada apa yang nak diulas panjang di sini. Oh ya! Masuk ke A Famosa adalah percuma tau!

Mengabadikan cinta di Kota Melaka. Ewah!


Muzium Kesultanan Melayu Melaka

Caj yang dikenakan ialah RM 3.00 untuk seorang dewasa. Muziumnya panjang. Ada ruangan tv yang memaparkan cerita Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Ada ruangan yang dibina patung-patung yang mencerminkan beberapa peristiwa seperti keadaan dalam balairong, pergaduhan Hang Tuah dan Hang Jebat.

Juga kami baca, Kanun Melaka. Apa hukuman bagi pencuri. Bagaimana nak tahu dia orang yang bersalah atau tidak.

Imej dari hadapan Muzium Kesultanan Melaka

 Kami tak lama di sini kerana kami sudah letih dan lapar. Kami menjamah KFC di Dataran Pahlawan sebelum pulang ke hotel dengan menaiki beca.

Pengalaman berbeca adalah satu pengalaman manis untuk dikenang. Meredah Kota Melaka yang maha sesak dengan beca yang bebas untuk buat wrong way. Menyusup ke jalan-jalan yang menempatkan kedai-kedai yang mengekalkan ciri-ciri kedai zaman dahulu. Memang unik dan menyeronokkan.

Alai Ikan Bakar

Biras Asy pesan,


“Fia jangan lupa singgah makan di Alai Ikan Bakar. Kedai nombor dua, alas meja berwarna biru gelap. Kak Ayu lupa nama kedai tu.”

Selesai kami menunaikan solat jamak, kami terus bergerak mencari Alai Ikan Bakar dengan berpandukan Waze. Alhamdulillah, selamat sampai. Selamat juga dapat parking, sebab kami sampai awal, sekitar jam 6.30 pm.

Kami telah memesan nasi, air jus, Ikan Siakap 3 Rasa (sebelah sahaja sebab makan berdua), Sotong Celup Tepung dan Butter Prawn. Total harga RM 80.

Inilah makanan yang kami pesan tu. Makan dua orang je. Banyak, kan?
Sudah kenyang, kami pun pulang. Suami ada tanya, nak jalan-jalan ke Jonker Walk ke? Asy hanya menggeleng kerana badan terasa letih dan memilih untuk meneruskan jalan-jalan esok hari saja.

Balik hotel dan telan Herb Lax untuk cuci usus. Tak lupa juga Omega Guard dan Ostematrix untuk bagi otot dan kaki kembali pulih untuk meneruskan perjalana esok.

Hari Ketiga: Melaka – Putrajaya – Port Klang

Hajat di hati, teringin nak rasa Roti Canai Kayu Arang yang menular viral di Facebook. Kami check out awal dan terus menuju ke kedai tersebut. Bila sampai, ya Allah! Nak parking, susah! Orang ramai! Membuatkan Asy tak senang duduk.

Sedap sangat ke roti canai sini? Ke ramai sebab viral?”

Lima kali berpusing dalam kedai tersebut nak cari tempat duduk. Dah dapat tempat duduk, tunggu pula tukang ambil order. Agak lambat kerana ramai orang. Bila kami nak pesan roti canai yang dibakar dengan kayu arang tu, habis pula!

Aduh! Kecewa!

Uniknya, nasi lemak ini disertakan sayur kangkung rebus yang lembut dan sedap.

Maka, ini sajalah yang kami makan, bagi mengubat kecewa. Selesai makan, kami terus ke Putrajaya untuk menghadiri walimatul ‘urs kawan Asy. Dapatlah juga ber-mini reunion dengan teman-teman yang hadir.

Tahniah Najaah dan isteri!

DSPI mini reunion.

Kemudian, jalan-jalan di IOI City Mall Putrajaya dan pulang ke rumah sebab esoknya, masing-masing kerja.

Terima kasih Melaka atas memori indah.

Terima kasih Allah untuk segala kurnia.

Terima kasih peminat kerana setia membaca hingga ke akhir catatan.

Luv,
Asyrafiah Sabri
Suka Travel.

Comments

Popular posts from this blog

6 Perkara Best Travel dengan Bas Sani Express

Assalamualaikum wbt. Semalam, tamatlah sesi #teamrayaperlis dengan keluarga sebelah suami.  Korang still beraya lagi ke tu? Hehe takpe, raya kan sebulan. Entri kali ni, Asy just nak bagi review tentang perkhidmatan Bas Sani Express memandangkan kami menggunakan perkhidmatan bas awam untuk pulang ke Perlis. Sebab ETS habis, flight pula ya Allah, harga dekat nak sama gaji bulanan kami laki bini. First time raya dengan suami dan keluarga belah suami, jadi kalut sikitlah nak book kenderaan. Bas Sani ni pun alhamdulillah kamu dapat tang malam raya. Esok nak raya, kami dok takbir atas bas. Asalnya nak balik Jumaat malam atau Sabtu pagi, tapi tak ada rezeki sebab both time yang kami nak tu, tiket Sani Express dah fully-booked. Harga one way tiket untuk 1 dewasa ke Kangar ialah RM 57.80 Oh ya sebelum lupa. Asy book online saja tiket bas ni. Sebab stress dengan kesesakan Klang masa nak pergi walk-in beli tiket ETS, konon-kononnya nak balik naik ETS je. Lepas set...

Nafkah Zahir v/s Nafkah Batin

Bismillahirrahmanirrahiim Assalamualaikum wbt Happy New Year readers! Still valid lagi tak? Haha. Okay mohon ampun, mohon maaf. Berhabuk dah blog. Ucap New Year pun lambat. Sebab ada kekangan internet dan kekangan masa (alasan tapi ini betul-betul) Okay, Asy pernah janji kan nak share sedikit tentang nafkah zahir dan nafkah batin di FB. Sebenarnya, Asy masih terima mesej-mesej dari kawan-kawan yang sedikit bermasalah dengan nafkah zahir dan nafkah batin. Macam-macam cerita yang Asy terima. Taknak cakap panjang, Asy terangkan serba sedikit tentang nafkah. Apa Itu Nafkah? Nafkah ialah membelanjakan harta untuk diri sendiri dan orang di bawah tanggungannya. Orang dalam tanggungan secara ringkasnya ISTERI, ANAK-ANAK, HAMBA dan IBU BAPA YANG FAQIR. (Info lanjut boleh digali dalam kitab Raudah at-Talibiin & Fiqh al-Manhaji) Apa Dia Nafkah Zahir Isteri? Makan minum. Pakaian (baju jalan-jalan, baju raya, baju tidur, baju kerja) Duit poket bulanan ...